Pengalaman
dan jasa Datuk Mah Siew Keong membangunkan kawasan Parlimen Teluk Intan
sebelum ini antara faktor beliau dipilih semula bagi mewakili Barisan
Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk
Intan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata Mah,
yang sebelum ini anggota Parlimen Teluk Intan selama dua penggal sejak
pilihan raya umum 1999, amat dikenali di kawasan ini dan mampu
berkhidmat kepada masyarakat di kawasan itu.
Beliau
berharap 60,349 pemilih berdaftar di kawasan ini, termasuk 59,927
pengundi biasa, memberikan sokongan kepada Mah, yang merupakan anak jati
Teluk Intan.
"Pucuk pimpinan memilih Mah berdasarkan pengalamannya dalam kerajaan
dan parti, (tambahan pula) masyarakat di kawasan itu mengenali beliau
yang banyak berjasa kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas
proses penamaan calon PRK Parlimen Teluk Intan di Sekolah Menengah
Kebangsaan Seri Perak di Teluk Intan, hari ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu
lawan satu antara Mah, 53, dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi
Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei
lepas.
Ditanya mengenai Mah yang dianggap sebagai calon kitar semula,
Muhyiddin berkata: "Ini bukan calon kitar semula. Saya dah beberapa kali
recycle. Yang penting kita tahu apa harapan pengundi di sini."
Ini adalah kali kelima Mah bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan,
dengan kali pertama pada PRU 1999 dan terakhir pada PRU 2013. Beliau
memenangi kerusi itu pada PRU 1999 dan PRU 2004, dan kalah kepada calon
DAP pada PRU 2008 dan PRU 2013.
Muhyiddin berkata: "Memang dalam keadaan tertentu ada menang dan kalah.
Kali ini kita harap trend akan berubah sebab kita telah membuat
keputusan secara mendalam, bukan sambil lewa atau semberono."
Menyentuh mengenai ibu Dyana Sofya, iaitu Yammy Samat, 59, yang
merupakan anggota Umno, Timbalan Pengerusi BN itu berkata ia bukan
risiko kepada parti komponen itu.
"Kita tidak mengambil kira latar belakang (calon lawan atau DAP), siapa
ibunya dan keluarganya. Yang penting, kita hendak menjual calon kita
yang baik, segak, bertenaga dan banyak pengalaman," katanya.
Ditanya mengenai peluang BN pada PRK ini, Muhyiddin berkata: "Kita
50-50 setakat hari ini, walaupun kita yakin trend pengundi juga akan
berlaku dalam beberapa hari mendatang, sama ada mereka (pengundi)
dipengaruhi oleh parti yang bertanding."
Muhyiddin berkata BN menggerakkan jenteranya di semua peringkat, dan
"yang penting jentera parti kita akan bergerak, (dan) kita mesti
yakinkan pengundi dengan dasar BN yang kita bukan parti perkauman, kita
parti untuk semua kaum."
"Itulah yang kita telah dan akan laksanakan," katanya.
Beliau berkata jentera BN pada PRK kali ini lebih padu jika
dibandingkan sebelum ini, dan atas dasar itu," saya yakin kita berupaya
untuk menggerakkan jentera sehingga memperoleh kejayaan."
Pengundian awal PRK Parlimen Teluk Intan akan diadakan 27 Mei ini,
manakala pengundian ditetapkan pada 31 Mei. – Bernama, 19 Mei, 2014.