SEKADAR RENUNGAN.
Menghayati makna sebuah lagu mestilah dengan ilmu dan kefahaman yang mendalam. Tanpa ilmu sejarah dan kefahaman lagu akan hanya tinggal lagu jika tidak dihayati dan difahami betul-betul. Lagu juga ada kaitan dengan sejarah. Begitulah tema Hari Kebangsaan ke-57 kali ini. “Malaysia; Di sini lahirnya sebuah cinta.” Ada rasa cinta yang mendalam.
Tema ini diambil daripada lagu Warisan nyanyian dan seni kata Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad penyanyi yang berasal dari Temerloh, Pahang. Penulis kenal baik dengan penyanyi ini malah juga arwah ibu bapanya yang rumahnya terletak di Kampung Tuk Embun, sebelah kiri Jalan ke Mentakab berhampiran Bukit Mikro. Kini tiada lagi kesan peninggalan rumah tersebut. Sayang sekali pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan juga kerajaan negeri tidak membangunkan semula rumah penyanyi tersohor ini yang kental dan kuat dengan semangat patriotik sepatutnya menjadi ikutan generasi muda dalam menterjemahkan kecintaan kepada negara.
Antara seni kata lagu: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Iaitu: Di sini lahirnya sebuah cinta, Yang murni abadi sejati, Di sini tersemai cita-cita; Bercambah menjadi warisan. Jika dihayati dengan sepenuh hati akan ada rasa cinta yang mendalam terhadap negara bernama Malaysia.
Tema daripada lagu ini sangat sesuai dan tepat dengan keadaan semasa kerana ramai kalangan generasi muda sudah lupa di mana mereka dilahirkan, dibesarkan, disekolahkan dan kemudiannya menikmati kemewahan hidup.
Ini terutama kepada kalangan generasi muda yang berhijrah dan belajar ke luar negara dan kemudian balik sesekali ke negara ini terutama pada hari mengundi. Sepatutnya di mana kita dilahirkan, dibesarkan di situlah tempat kita meluahkan kecintaan yang abadi dan murni. Bukannya ke negara lain.
Kecintaan yang abadi dan sejati ini sepatutnya diterjemahkan kepada kecintaan kepada negara, pemimpin negara, dan juga kepada kemakmuran negara apabila seseorang itu sudah berjaya. Semangat cinta akan negara atau semangat patriotik sepatutnya diterjemahkan melalui rasa cinta yang mendalam dengan kesetiaan kepada negara, bersatu padu dan mengamalkan semangat bermasyarakat.
Nilai patriotisme juga patut ditunjukkan melalui semangat jati diri yang tinggi, bertanggungjawab terhadap negara dan menghargai jasa pemimpin. Di samping itu, jangan sesekali lupa jalur sejarah negara supaya kita tidak lupa diri. Semangat patriotik juga boleh ditunjukkan melalui semangat kegigihan belajar dan berusaha dalam bidang pekerjaan, mempunyai semangat kreativiti, semangat gigih berusaha dan tidak mengharapkan bantuan luar.
Justeru, sebagai menterjemahkan rasa cinta negara setiap warga negara terutama generasi muda perlu memahami dan menghayati sejarah tanah air dan mereka patut berbangga menjadi warga negara di negara yang aman dan makmur.
Dengan memahami dan menghayati sejarah, kita terutama generasi muda akan lebih bertanggungjawab mempertahankan negara daripada musuh dalam dan luar negara. Sejarah dan kita amat penting. Sebagai warga negara Malaysia, kita patut mengetahui peristiwa bersejarah yang tepat yang berlaku di negara kita.
Perlu diingat, fakta sejarah mestilah tepat, iaitu tidak boleh ditokok tambah. Fakta sesuatu peristiwa sejarah perlu dapat dipertanggungjawabkan dari segi sumber dan kesahihannya supaya tidak dijadikan alat dan senjata politik murahan.
Di sinilah lahirnya sebuah cinta membawa maksud dan falsafah yang sangat mendalam jika benar-benar dapat dihayati. Sejarah membuktikan di sinilah kita dilahirkan melalui ibu bapa kita yang bercinta, melahirkan kita yang dicintai di sebuah negara yang tercinta. Begitulah hebatnya cinta.
Oleh itu, sebagai membalas semula kecintaan itu, kita terutama generasi muda mestilah mendambakan kecintaan kita kepada negara dengan menjaga keamanan dan keharmonian, menguatkan perpaduan kaum, mengelakkan perselisihan dan pergaduhan dan terus mengekalkan kemerdekaan sampai bila-bila. Inilah falsafah yang sewajarnya difahami oleh kita semua. Sehinggalah kita benar-benar faham dan menghayati apa erti cinta yang sebenarnya.
-Sinar Harian-
Admin: Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara dengan penuh penghayatan, kesedaran, kesyukuran dan kecintaan atas nikmat MERDEKA hasil perjuangan cekal gigih, pahit jerih darah dan air mata datuk nenek kita dahulu!
Di sini Lahirnya Sebuah Cinta...
Kami sayang malaysia kerana ia bumi bertuah, aman makmur, tanah tumpah darahku!
No comments:
Post a Comment