SHAH ALAM: Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar surat kepada Sultan Selangor
bagi memohon perkenan memecat tiga exco DAP dan tiga exco Parti Keadilan
Rakyat (PKR) kerana membuat gagasan mengehadkan kuasa beliau sebagai
menteri besar.
Khalid turut menegaskan bahawa pemecatan semua exco terbabit berkuatkuasa serta merta.
“Oleh itu, saya telah minta dan tulis surat kepada Sultan Selangor
supaya mereka ini tidak meneruskan kerjaya sebagai exco kerajaan
negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lobi Bangunan SUK di sini, sebentar tadi.
Enam exco itu adalah Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail, Ean Yong
Hian Wah, Wong Keat Ping, Dr Daroyah Alwi dan Ganabatirau Veraman.
Terdahulu, enam exco DAP dan PKR tersebut mengeluarkan kenyataan
bersama bahawa Khalid tidak boleh membuat sebarang keputusan dalam
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tanpa melalui proses undian.
“Sebarang keputusan perlulah diundi supaya fungsi Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan,” kata mereka.
Malah, mereka hanya mengiktiraf Khalid sebagai menteri besar Selangor
dalam peralihan, sehingga Pakatan Rakyat memilih pengganti beliau.
Jelas Khalid lagi, surat pemecatan tersebut sudah diserahkan kepada
lima ahli exco kecuali Rodziah yang kini berada di luar negara.
Sementara itu, Khalid turut memaklumkan telah mengadakan perjumpaan
dengan exco PAS bagi membincangkan mengenai inti pati mesyuarat exco
pada Rabu.
“Kita bincang mengenai perkara penting yang perlu diutamakan agar
pentadbiran di negeri ini terus mantap dan program yang dirancang dapat
dilaksanakan,” katanya.
Diminta mengulas mengenai spekulasi beliau telah menghantar borang
menyertai PAS pagi tadi, Khalid bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
“Tidak, tak ada,” jawabnya ringkas.
No comments:
Post a Comment