SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digesa memudahkan proses
peralihan kuasa jawatan Menteri Besar Selangor dan mengembalikannya
kepada PR untuk meredakan kemarahan rakyat terhadapnya.
Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, Abdul
Khalid ketika menghadap sembah Sultan Selangor petang ini perlu
menasihatkan Tuanku supaya menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail yang mendapat sokongan majoriti Adun.
"Kita berharap Tan Sri Khalid dapat memaklumkan kepada Tuanku bahawa
keadaan sebenarnya yang mana beliau sudah hilang sokongan daripada Adun
sekurang-kurangnya 30 Adun paling minimum.
"Ia tentulah akan
memudahkan rakyat, memudahkan peralihan kuasa dan sekurang-kurangnya
walaupun saya tahu ada isu yang panas dan sebagainya, mungkin dapat
sedikit sebanyak meredakan kemarahan rakyat terhadap Tan Sri Khalid,"
katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian, hari ini.
Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris
Shah kira-kira jam 2.30 petang ini bersabit kemelut jawatan yang
disandangnya itu.
Beliau juga merupakan Adun Bebas selepas
dipecat PKR pada 9 Ogos lalu kini sudah jelas kehilangan kepercayaan 30
Adun PR di Dun Selangor.
Keputusan Sultan Selangor petang nanti
akan menentukan dua kemungkinan sama ada peralihan kuasa berjalan
lancar atau Tuanku memberi perkenan membubarkan Dun Selangor bagi
memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Mengulas lanjut Nik
Nazmi menambah, peralihan kuasa itu perlu dilakukan dengan baik
memandangkan 'mood' rakyat sudah berubah berbanding pada peringkat
ketika beliau dipecat dari parti.
"Kalau di awal dulu mungkin ada simpati terhadap dia, tapi di akhir ini simpati itu semakin berkurangan.
"Sebab orang kata kenapa dia perlu heret lagi dan sebagainya kalau
betul-betul dia fikirkan tentang rakyat, tentu isu ini dapat selesai
secepat mungkin," ujarnya.
-SinarHarian-
No comments:
Post a Comment