Oleh: Ridhuan Tee Abdullah
SULTAN Selangor murka kepada ultra kiasu atas keingkaran menuruti titah Baginda yang mahukan setiap parti dalam PR mencalonkan tiga nama, untuk dipilih sebagai MB Selangor, kecuali Pas.
Tindakan Pas menghantar tiga nama, telah menimbulkan kemarahan ultra kiasu kerana tidak mengikuti jejak mereka. Pas dihentam dan dikritik habis-habisan. Setelah lama bersabar, kali ini Pas tidak berdiam diri. Pas membidas, dengan bertanya apakah hak mereka berbuat demikian?
Ternyata, Pas nampaknya semakin matang dalam memahami percaturan politik negara ini, kecuali segelintir yang pro ultra kiasu yang perlu disingkirkan.
Bak kata Mursyidul Am Pas, Nik Aziz, Pas sudah lama dalam politik Malaysia, berbanding ultra kiasu yang ibarat sebagai penumpang baru belajar, terutama parti ultra kiasu Melayu yang berasa dirinya kuat.
Penyerahan kerusi kepada Pas dalam PRK Pengkalan Kubor, bukan bermakna ultra kiasu melakukannya atas dasar setia kawan. Hakikat sebenar, ultra kiasu sudah menjangkakan keputusannya untuk terus kalah jika bertanding. Bagi menutupi kelemahan, maka kerusi tersebut diberikan. Harap Pas tidak lena dengan gula-gula ini.
Setakat ini, tindakan Pas mendapat pujian kerana tidak menderhaka kepada titah sultan. Ultra kiasu yang ingkar, bukan sahaja derhaka, malah gagal memahami realiti dan adat budaya politik negara ini, serta tidak selayaknya mereka tinggal atau bertanding di Selangor.
Maka, sudah sampai masanya mereka yang bertanding dalam pilihan raya akan datang, dikenakan beberapa syarat yang mesti dipatuhi.
Pertama, telah tinggal sekurang-kurangnya 10 tahun di kawasan negeri yang ditandingi. Ini bertujuan supaya mereka mahir dengan adat budaya setempat.
Orang luar, tidak boleh bertanding secara tiba-tiba seperti berlaku dalam PRK Kajang (langkah Kajang), semata-mata untuk melunaskan nafsu serakah menguasai Putrajaya.
Pilihan raya bukan perkara main-main. Ia melibat amanah rakyat dan menelan belanja jutaan ringgit. Peletakan jawatan tidak boleh diterima untuk memberi laluan kepada PRK, kecuali jika berlaku kematian, seperti PRK Pengkalan Kubor.
Kedua, setiap calon yang mahu bertanding, perlu mempunyai kelulusan minimum, iaitu diploma, bagi memelihara standard Dewan (Parlimen). Mereka juga perlu diwajibkan mengikuti kursus asas sains politik, termasuk kalangan mereka yang mendakwa pakar dalam perlembagaan dan undang-undang.
Ilmu asas politik dan budaya politik Malaysia, berteraskan payung anak watan (indigeous canopy), bertuankan raja, perlu dihadam dan dikhatam untuk elakkan penderhakaan.
Ketiga, fasih berbahasa Melayu. Calon ultra kiasu yang tidak boleh berbahasa Melayu, perlu diwajibkan mengikuti kursus bahasa sehingga pandai.
Sekiranya masih pelat, mereka tidak layak untuk bertanding. Bagaimana hendak menjadi wakil rakyat, jika tidak boleh berkomunikasi dengan rakyat, apatah lagi dengan istana? Kalau boleh, kita tidak mahu mendengar bahasa asing dipertuturkan atau ayat “dengan izin”, diikuti bahasa lain.
Keempat, mengikut kursus protokol berada di Parlimen, agar tidak memakai pakaian belang-belang. Saya begitu teruja sekali untuk melihat, ketika pembukaan Parlimen atau istiadat istana (anugerah pingat bertemu raja), semua wakil rakyat memakai pakaian kebangsaan, berbaju Melayu dan bersongkok. Ingat, baju Melayu bersongkok adalah pakaian kebangsaan, bukan pakaian Melayu. Sama juga bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa negara.
Terus-terang, sebagai rakyat jelata, patik amat menghormati institusi raja-raja Melayu kerana itulah asal-usul negara tercinta ini. Masa depan Islam (Melayu) berada di tangan raja (dengan izin ALLAH). Inilah realiti politik Malaysia.
Dalam kes MB Selangor, Sultan hanya menitahkan tiga nama. Patuhilah. Selesai masalah. Peliknya, kenapa ultra kiasu terlalu obses dengan satu nama? Semua ini kerana politik, kroni dan kuasa. Pas diperangkap dan terperangkap, serta berada dalam dilema.
Jika saya berada di tempat Pas sekalipun, saya tidak akan setuju dengan satu nama yang dicadangkan itu. Apakah sudah pupus Adun-Adun lelaki dalam parti ultra kiasu? Atau sudah kurang kejantanannya sehingga terpaksa mencalonkan seorang wanita sahaja?
Sejak kecil saya diingatkan, jika masuk ke rumah orang, patuhilah peraturan dan adat budayanya. Sekiranya tidak mahu, carilah tempat lain atau berhijrah ke rumah lain yang boleh memberi keselesaan kepada kita.
No comments:
Post a Comment