Thursday, September 18, 2014

GST : Cabaran Malaysia Berdepan Dunia

alt

KUALA LUMPUR, 16 Sept - Seminar Antarabangsa mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bertajuk 'Dasar kepada Amalan -- Pengalaman dari Seluruh Dunia', berakhir dengan kejayaan dan pelbagai pengajaran diperoleh mengenai cabaran yang dihadapi oleh negara yang melaksanakan sistem percukaian itu.

Satu perkara penting yang diluahkan oleh pakar cukai dari Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Thailand dan Singapura ialah GST atau cukai nilai tambah (VAT) terbukti satu kutipan cukai yang cekap walaupun ada masalah pada peringkat awal pelaksanaan.

Daripada peningkatan perolehan hasil GST, kerajaan dapat mengagihkan semula pendapatan itu untuk kemudahan masyarakat selain menurunkan cukai pendapatan individu dan korporat manakala ekonomi negara pula semakin kompetitif.

Tidak dapat dinafikan bukan tugas mudah untuk membolehkan GST diterima oleh rakyat Malaysia dan sektor perniagaan, namun Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan berada di landasan yang tepat untuk memastikan semua pihak menerimanya.

Sememangnya tidak ada ruang berpatah balik kerana GST sudah sedia untuk dilaksana bermula 1 April 2015, justeru tidak ada gunanya menunggu hingga saat-saat akhir untuk mendaftar seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan seminar.

Setakat 14 Sept, hanya 35,998 syarikat daripada lebih 300,000 yang perlu mengambil bahagian dalam GST, telah mendaftar.

Hanya tinggal kira-kira enam bulan lagi dan memang jelas masa semakin suntuk, namun syarikat masih ragu-ragu akan keperluan untuk tampil dan mendaftar serta bertanya tentang apa yang mereka perlu lakukan, sedangkan 160 negara sudah melaksanakan GST atau VAT.

Pada seminar yang menerima sambutan hebat peserta itu, penceramah memperincikan bagaimana GST atau VAT berkembang daripada peringkat dasar kepada pelaksanaan yang turut menyaksikan pelbagai masalah, terutama pada tahun-tahun awal serta cabaran besar yang dihadapi.

Dialog berterusan antara sektor perniagaan dan pihak berkuasa, penerbitan dokumen untuk maklum balas masyarakat serta penguatkuasaan peruntukan perundangan secara konsisten akan membantu melancarkan pelaksanaan VAT, kata Pengurus Kanan Perkhidmatan Hasil bagi VAT Afrika Selatan Lesley O' Connell Xego.

"Interaksi seperti dialog umum akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana pihak berkuasa perlu tahu apakah pandangan sektor perniagaan dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Pihak berkuasa juga katanya perlu menerbitkan dokumen bagi mengumpulkan maklum balas.

"Adalah amat penting untuk melibatkan pihak-pihak yang perlu bagi meningkatkan kefahaman tentang komen yang diterima serta cuba mencapai persetujuan dan pada masa yang sama menyampaikan rasional polisi," katanya.

Thailand pula melaksanakan beberapa langkah seperti sistem pengkomputeran sepenuhnya dan mewajibkan nombor pengenalan pada kedua-dua invois, penjual dan pembeli, sebagai usaha menangani penipuan dalam VAT.

Negara itu menyaksikan banyak kes syarikat menggunakan invois palsu untuk membuat tuntutan semula VAT, menyebabkan kerugian kira-kira RM10 bilion, kata Pakar Kanan bagi Pembangunan Sistem Cukai Kementerian Kewangan Thailand, Sumalee Satitchaichareon.

Thailand memperoleh kira-kira 592 bilion baht (RM59.1 bilion) menerusi VAT tahun lepas, merosot berbanding 659.8 bilion baht pada 2012, katanya.

Thailand melaksanakan VAT sejak 1992 dengan kadar semasa pada tujuh peratus.

Pengarah Cukai bagi Pihak Berkuasa Hasil Dalam Negeri Singapura Hoe Ee Hui berkata pelaksanaan GST yang berkesan akan membantu kerajaan menurunkan cukai pendapatan individu dan korporat.

Katanya rakyat akan dapat melihat pengurangan dalam cukai langsung manakala peningkatan pendapatan hasil GST akan membantu kerajaan mengagihkan semula peruntukan yang lebih tinggi untuk kemudahan awam.

Bagi mengimbangi keregresifan cukai, Hoe berkata kerajaan Singapura memperkenalkan langkah-langkah bagi mengurangkan kesan 'regresif' akibat GST.

Antara pengagihan semula yang dicapai ialah peningkatan subsidi untuk mengimbangi GST perlu dibayar, kepada pendidikan dan pengenalan Faedah Pengangguran Automatik, langkah menaikkan gaji bagi kumpulan pekerja berusia dan golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Prof Madya Dr David White dari University of Wellington mengingatkan tentang masalah-masalah yang akan timbul dalam tempoh beberapa tahun pertama pelaksanaan GST.

"Tiga tahun pertama sangat sibuk. Itu tempoh pelarasan," kata White yang bercakap mengenai pengalaman New Zealand.

Beliau berkata cukai New Zealand sangat komprehensif, meliputi semua perkara dan mempunyai nilai ambang yang sangat rendah.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula memuji usaha pembaharuan fiskal Malaysia dengan meluaskan asas cukai menerusi pelaksanaan GST.

Penasihat Jabatan Hal Ehwal Fiskal Kiyoshi Nakayama berkata perubahan sumber pendapatan daripada sumber semula jadi dan pendapatan korporat untuk turut meliputi GST adalah dasar hala tuju yang penting bagi mengekalkan kemampanan fiskal jangka panjang Malaysia.

Katanya cukai mesra pertumbuhan kurang menjejaskan untuk pengembangan ekonomi berbanding cukai pendapatan.

Beliau yang memuji persediaan Malaysia ke arah melaksanakan GST, berkata strategi komunikasi menggunakan media sosial yang dilaksana oleh Kementerian Kewangan dan kastam sangat inovatif.

-rakyatnews-

No comments:

Post a Comment