Tuesday, September 16, 2014

Langkah Abdul Hadi hormati kehendak istana - Pas Johor


Aminolhuda

BATU PAHAT 13 Sept. - Pas Johor percaya keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Majlis Syura Ulama yang menghantar tiga nama calon Menteri Besar Selangor kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bertepatan dan menghormati kehendak istana.


Pesuruhjaya Pas negeri, Aminolhuda Hassan berkata, biarpun keputusan itu mengundang rasa tidak senang dalam kalangan rakan pakatan pembangkang, namun semua pihak wajar menghormatinya kerana Pas mengikut budaya Melayu dalam meletakkan institusi raja pada kedudukan yang tinggi.
"Kami (Pas Johor) sentiasa bersama Tok Guru dan menyokong apa jua keputusan dibuat kerana beliau memang mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti.
"Secara keseluruhan, ahli-ahli Pas amat menyayangi presiden kerana kita tahu beliau merupakan seorang yang bijaksana dan terbaik sehingga dilantik sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Abdul Hadi yang mengemukakan tiga nama calon termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu untuk jawatan Menteri Besar Selangor, tidak seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya mengemukakan satu nama.


-utusan-

No comments:

Post a Comment