Oleh Azhar Abu Samah
Laporan akhbar The Independent dan Daily Mail yang diterbitkan di London mengenai perancangan Kerajaan Arab Saudi untuk mengalihkan Makam Rasulullah SAW ke tanah perkuburan al-Baqi' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi di Madinah mendapat reaksi bantahan segera.
Tanpa mendapat pengesahan duduk sebenar, dunia penulisan maya bertalu-talu menyelar Kerajaan Arab Saudi dengan menyifatkannya sebagai satu lagi contoh ketidakpekaan pemimpin dan ulama negara itu terhadap warisan Islam dan mengingatkan langkah itu, jika dilaksanakan adalah penghinaan terhadap masyarakat Islam.
Bagaimanapun, akhbar Arab Saudi, Fimadani yang memetik sumber melaporkan, cadangan itu bukan datangnya daripada pemerintah Arab Saudi, sebaliknya ia diambil daripada sebuah jurnal ilmiah terbitan pentadbiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Malah, kata jurucakap itu, pemerintah Arab Saudi membantah sebarang usaha memindahkan jasad Nabi, apatah lagi Nabi Muhammad SAW ke perkuburan Baqi'.
Akhbar The Independent melaporkan seorang ulama Arab Saudi mengemukakan pelan kontroversi untuk memindahkan makam Rasulullah SAW selepas beberapa ulama negara itu menyuarakan kebimbangan ia semakin menjadi tempat pemujaan.
Menurut laporan itu, dokumen 61 muka itu diedarkan kepada anggota pihak berkuasa Tanah Suci, mencadangkan supaya makam itu dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi, bersebelahan dengan Masjid Nabawi dan dikuburkan tanpa sebarang tanda. Akhbar itu memetik Pengarah Yayasan Kajian Warisan Islam, Dr Irfan Al-Alawi, sebagai berkata mereka mahu menghalang orang Islam mengunjungi makam berkenaan kerana menganggap perbuatan itu syirik.
Banyak persoalan timbul daripada penyebaran berita itu. Malah, ada yang melihat ia mempunyai agenda besar, apatah lagi kira-kira 1.75 juta jemaah haji dari 189 negara mula berkumpul di Makkah dan Madinah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Seperti kata Ketua Ulama Muda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya, cadangan itu dibuat bertujuan mengalih tumpuan masyarakat dunia mengenai isu menangani Syiah oleh banyak pihak, termasuk pemerintah Arab Saudi, selain agenda mewujudkan bibit perpecahan sesama ahli Sunah.
Hakikatnya, soal memindahkan makam Rasulullah itu sebenarnya isu lama. Rekod menunjukkan hampir setiap tahun mereka (media bukan Islam) mengeluarkan isu sama, iaitu sejak 26 Oktober 2012, 15 Mac 2013 dan yang terbaharu awal September lalu.
Agenda mereka hanya satu, iaitu mahu menimbulkan ketegangan sesama pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah atau suni. Apabila bertelagah sesama sendiri dan ada yang cuba menghentam pemerintah, ia mewujudkan peluang untuk Syiah meluaskan pengaruhnya, bukan sahaja di Tanah Haram, malah di seluruh dunia.
Oleh itu, sewajarnya umat Islam di negara kita tidak terpengaruh dengan isu ini, apatah lagi perkhabaran itu belum disahkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan diulang siar oleh media yang bersekongkol dengan agenda anti-Islam.
Inilah masanya kita hayatilah maksud surah al-Hujurat ayat 6 supaya kita tidak menyesal dan berhati-hati jika mendengar berita daripada orang fasik.
-berita harian-
No comments:
Post a Comment