SHAH ALAM: Pemimpin PKR diseru agar tidak mudah melatah dalam mendepani pergolakan yang melanda Pakatan Rakyat kini.
Timbalan presidennya, Azmin Ali mengakui PKR saat ini menghadapi kesukaran namun beliau yakin kemelut itu akan dapat diatasi dengan berhemah dan tenang.
Pakatan Rakyat kini saling menuding jari sesama mereka apabila berebut untuk menamakan calon dari parti masing-masing bagi menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Saya menyeru semua pemimpin dan anggota PKR bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan suasana politik.
"Saya akui kita sekarang sedang menghadapi sedikit kesukaran namun saya yakin berdasarkan pengalaman dan dengan semangat muafakat dalam parti dan Pakatan Rakyat, pimpinan PKR akan dapat mengatasi kesukaran sekarang," ujarnya melalui satu kenyataan medianya.
Azmin turut menegaskan PKR amat komited dengan kerjasama Pakatan Rakyat.
Justeru pemimpin PKR harus menjaga tingkah laku serta tidak melatah dan menggunakan kebijaksanaan untuk menjernihkan kekeruhan yang tercetus daripada kemelut itu, ujar Azmin.
"Saya juga ingin menegaskan dasar PKR yang mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi salah satu tonggak kerajaan.
"Saya yakin kita akan keluar dari kemelut sekarang dan kita perlu menggilap iltizam dan azam untuk maju ke hadapan dan membangunkan Negeri Selangor dan menjaga kepentingan rakyat jelata," ujarnya lagi.
Sultan Selangor hari ini (Isnin) dilaporkan murka terhadap PKR dan DAP.
Baginda juga menganggap parti itu sebagai “biadap” kerana ingkar akan titahnya untuk menghantar lebih daripada dua nama calon MB untuk baginda nilaikan.
Sultan Selagor mengingatkan bahawa sokongan majoriti dalam DUN hanya satu daripada faktor dan bukan penentu untuk seseorang dilantik MB.
Justeru langkah sultan meminta parti komponen Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama itu bertujuan membolehkan baginda memilih calon paling layak untuk menerajui kerajaan negeri Selangor.
-antarapos-
No comments:
Post a Comment