Wednesday, September 17, 2014

Chegubard Terus Tuduh Azmin Lobi Istana Untuk Jadi MB



Ahli PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang digantung keahlian parti terus mengasak Mohamed Azmin Ali apabila menuduh Timbalan Presiden PKR itu cuba melobi Istana Selangor untuk menjadi Menteri Besar (MB) Selangor.

Chegubard yang disebut-sebut pro Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Azmin bermain politik dua muka berkaitan isu tersebut.

“Di hadapan umum dia bersetuju Dr Wan Azizah sebagai calon MB, malah kononnya menolak pencalonan tetapi umum perlu mengetahui lobinya untuk menjadi MB secara sulit sebagai punca kekalutan PKR, Pakatan dan Selangor ini,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor hari ini, lapor The Malaysian Insider.

Chegubard mendakwa beliau mengetahui cubaan Azmin mengadakan pertemuan dengan beberapa individu untuk mendapat akses ke istana.

“Azmin dan kartelnya secara konsisten memberikan tekanan kepada pimpinan PKR kononnya memilih jalan salah mencipta konfrontasi dengan istana kerana tidak mengemukakan namanya.

“Tidak terhenti di situ, Azmin sendiri bertemu beberapa individu untuk mendapat akses melobi ke istana,” katanya.

Tindakan tersebut bagi Chegubard tidak menghairankan kerana Azmin sememangnya sudah lama mengintai jawatan MB Selangor.

“Memang sejak awal dia impikan jawatan MB Selangor.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Azmin menjaja cerita kononnya Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjanjikan dia jawatan MB tetapi menipu dan tidak melantik dia,” katanya.

Tidak cukup dengan tuduhan tersebut, Chegubard juga mencabar Azmin supaya mempersembahkan surat kepada istana, tidak akan menerima jawatan MB sekiranya dicalonkan.

“Azmin dicabar mempersembahkan surat ke istana segera, maklumkan beliau tidak akan menerima jika dinamakan sebagai MB dan mempertahankan keputusan parti mencalonkan Dr Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai calon MB,” katanya lagi. 

No comments:

Post a Comment