Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki berkata teguran Abdul Hadi mengenai keupayaan Wan Azizah menerajui negeri itu dianggap “satu penghormatan” jika diteliti kemelut politik negeri itu termasuk sejak era Reformasi 1998.
Beliau mengumpamakan Wan Azizah seperti Abu Zar al-Ghifari yang ditegur tidak mampu menjadi pemimpin politik tetapi tetap dihormati apabila dianggap isteri mithali sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dihina pada 1998.
“Saya melihat teguran Abdul Hadi Awang itu bukan satu penghinaan, sebaliknya satu penghargaan malah satu penghormatan kepada Kak Wan yang telah melaksanakan peranannya sebagai seorang isteri mithali.
“Bagaimanapun, pada pandangan saya usaha untuk menobatkan Kak Wan sebagai MB akan menjadikan semua reputasinya sebagai isteri mithali sebelum ini tercemar.
“Tidak mustahil dia akan disebut selepas ini sebagai ‘MB Boneka’ atau lain-lain gelaran yang tidak manis. Lebih malang lagi, ia akan menjadi ‘benchmark’ kepada kepimpinan wanita dalam mengetuai teraju utama siyasah di Malaysia,” katanya.
Menurut Dr Zuhdi lagi, ketika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim ditinggalkan oleh kawan rapatnya, tetapi Wan Azizah terus setia dan percaya dengan kesetiaan suaminya.
“Beliaulah kemudiannya menggalas harapan suaminya sebagai simbol golongan yang dizalimi, dengan memimpin Parti Keadilan Nasional (PKN) dan kemudiannya PKR.
“Meskipun demikian, mereka yang rapat dengan Kak Wan semasa dia memimpin PKN dan sekarang PKR mengetahui secara lebih mendalam keupayaannya dalam melaksanakan amanah kepimpinan.
“Kak Wan adalah seumpama Abu Zar al-Ghifari, seseorang yang ada kelebihan hebat di bidang selain daripada amanah kepimpinan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Zuhdi berkata harapan rakyat Selangor mahu melihat kehebatan, kecekapan dan kebijaksanaan seorang menteri besar Pakatan menerajui pentadbiran seperti yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini.
“Sekarang adalah masa untuk menunjukkan model kepimpinan yang unggul di negeri Selangor, yang akan menjadi contoh sebagai negeri termaju yang juga dikenali dengan ‘mini Malaysia’,” katanya.
-siemensmelayumaju-
No comments:
Post a Comment