Tuesday, September 9, 2014

Sultan Selangor Amat Dukacita Terhadap PKR, DAP



SHAH ALAM — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah amat dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.


Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan Sharafuddin supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar.

“Dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Selangor telah menerima senarai nama calon menteri besar Selangor yang baharu daripada ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat seperti mana titah DYMM Sultan Selangor dalam surat bertarikh 27 Ogos 2014.

“Namun demikian hanya parti PAS yang akur dengan titah DYMM Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon menteri besar Selangor manakala DAP dan Keadilan masing-masing telah mengemukakan satu nama yang sama iaitu (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor,” kata Mohamat Munir dalam satu kenyataan di Shah Alam, Isnin.

Mohamad Munir berkata tindakan kedua-dua parti itu bukan sahaja menggambarkan kebiadapan mereka terhadap institusi beraja tetapi juga merupakan perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.

Beliau berkata titah Sultan Selangor bagi mengemukakan senarai lebih daripada dua calon menteri besar Selangor adalah satu amalan atau konvensi yang dilaksanakan baginda bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal menteri besar Selangor

“Baginda akan melihat bukan sahaja sokongan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah daripada segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut (dalam membuat pilihan),” kata Mohamad Munir.

Ciri-ciri itu amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri Selangor berjalan dengan lancar dan baik bagi keharmonian negeri berkenaan, katanya.

“DYMM Sultan Selangor berkeyakinan bahawa terdapat ramai calon dalam Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti yang disebutkan bagi menerajui kerajaan Selangor,” kata Mohamad Munir.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor akan meneliti senarai nama calon yang telah diterima dengan mengambil kira segala aspek dalam menilai calon sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara DYMM Sultan Selangor, maka baginda akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran DYMM Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri,” katanya.

Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.


–BERNAMA-

No comments:

Post a Comment