Thursday, September 11, 2014

Kumpulan Ulama Dan Anwarinas Dalam PAS Berpecah

alt


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang disebut-sebut bakal membentuk 'Pas baharu' akan me­lancarkan badan perhubungan negeri yang pertama iaitu di Pahang dan serentak dengan itu, bakal meng­umumkan pesuruhjaya negeri ber­kenaan dalam masa terdekat.

Perkembangan terbaharu itu memperkukuh­kan lagi tanggapan ba­nyak pihak bahawa Pas ketika ini sedang berpecah teruk, ibarat retak menanti belah akibat pertembungan kumpulan ulama dengan puak Anwarinas sebagaimana retaknya hubungan parti tersebut dengan sekutunya dalam pakatan.

Meskipun Presiden Pasma, Datuk Ir. Pahrolrazi Zawawi sekali lagi menafikan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan pada 11 Ogos lalu itu bukan untuk menggantikan Pas, tetapi apa yang nyata, hampir keseluruhan struktur kepimpinan pertubuhan itu menyerupai Pas.

Menariknya juga, pa­da forum bertajuk Pas Campur UMNO: Ke Mana Hala Tuju? malam semalam, beliau yang turut dilabelkan sebagai puak Anwarinas ada menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun menafikan Ketua Pembangkang tersebut menjadi dalang sehingga tertubuhnya Pasma.

"Pasma adalah sebuah NGO dan ditubuhkan sebagai NGO. Pasma ini ditubuhkan oleh kumpulan yang cukup prihatin me­ngenai nasib pakatan yang ketika ini berada dalam keadaan terumbang-ambing berikutan kemelut politik di Selangor yang kami anggap sudah sampai kepada kemuncaknya.

"Ini kerana bagi kami, pakatan merupakan suatu aset yang cukup bernilai kepada sistem demokrasi di Malaysia dan kami tidak mahu keadaan demokrasi kita kembali seperti tahun 60-an atau 70-an jika pakatan runtuh. Kalau runtuh ia merupakan satu bencana," katanya.

Selain Phahrolrazi, dua lagi ahli panel forum berkenaan yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof dan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari.

Dalam majlis tersebut juga dapat disaksikan bagaimana mo­derator dan ahli panel secara berkias mengeluarkan komen sinikal dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran pendirian menolak Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

No comments:

Post a Comment