Sunday, September 7, 2014

Perdagangkan rakyat khianat paling besar seorang pemimpin

 Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
SETIAP pemimpin terutama pemimpin politik sama ada di peringkat bawahan atau atasan mesti memahami aspirasi dan kemahuan rakyat di peringkat akar umbi. 

Jika pemimpin asyik berpolitik untuk mengekalkan kuasa, mengamalkan nepotisme dan kroni, rakyat akan muak dan jemu dengan kerenah mereka. Kejayaan banyak pemimpin dunia terdahulu disebabkan mereka memahami apa kemahuan rakyat atau orang dipimpinnya.


Apa pun parti politik mestilah mendapat sokongan rakyat bawahan. Jika mereka lupa pada janji dan manifesto parti semasa pilihan raya, rakyat akan mencatatnya dalam undian mereka.
Selalunya pelbagai janji ditabur dan manifesto diberikan tetapi apabila mencapai kemenangan janji hanya tinggal janji. 

Di negara ini, perkataan 'demi rakyat' digunakan secara berleluasa antaranya sebagai cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu membela kebajikan mereka.

Sebagai pemimpin di hadapan memberi contoh sehingga dapat diteladani, di tengah memberi dorongan semangat dan mengikuti dari belakang dengan memberi kekuatan dalam usaha melaksanakan tugas.
Justeru, pemimpin adalah pembela kepada rakyat. Masalah rakyat seperti isu kutipan sampah, kerosakan jalan raya yang tidak diurus dengan baik, kesukaran mendapatkan rumah mampu milik dan gangguan bekalan air bersih seharusnya diberi keutamaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terutama bagi negeri yang dikuasai pembangkang.

Begitulah peranan pemimpin yang dapat memberi contoh dan teladan kepada rakyat. Rakyat sentiasa memerhati, meneliti dan mengkaji corak dan gaya kepimpinan seseorang. Pada masa pilihan raya pelbagai janji dan manifesto diberikan, tetapi selepas pilihan raya semuanya dipandang sepi. 

Pergolakan dalam parti dan krisis kepimpinan yang berlarutan untuk mendapatkan kuasa dan jawatan juga menyebabkan rakyat rugi dalam mendapatkan hak untuk menerima pembangunan.

Mengikut Thomas Fuller, apabila anda memerintah dengan bijaksana, anda akan dipatuhi dengan senang hati oleh rakyat di bawah. Sementara menurut Lee S. Bickmore, nasib kejayaan seseorang pemimpin, ditentukan oleh kemampuannya memahami dan melaksanakan kehendak rakyat bagi mendapat undi dan sokongan mereka pada masa akan datang.

Kata-kata ini seharusnya menjadi panduan kepada setiap pemimpin politik yang berkuasa pada hari ini. Sifat sombong, tamak akan kuasa, lupa diri dan tidak memahami kehendak rakyat akan menyebabkan seseorang pemimpin itu jatuh dan akhirnya tidak dipedulikan oleh rakyat. 

Telah banyak contoh yang berlaku kepada pemimpin politik di negara ini. Perkara ini seharusnya menjadi teladan kepada pemimpin yang masih berkuasa pada masa ini. 

Kubu kuat kepada kepimpinan dan pemerintahan adalah sokongan rakyat. Rakyat yang sentiasa didampingi, didekati dan dibela pasti akan mengundinya. Perhatian dan tumpuan mestilah diberikan kepada rakyat bukan kepada kepentingan ahli politik semata-mata. 

Rakyat akan memerhati dengan bijak permainan politik dan jika kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan mereka diabaikan akhirnya seseorang pemimpin itu akan jatuh juga.

Pertelagahan sesama pemimpin akan menyebabkan rakyat berasa tidak selesa, muak dan jemu dengan telatah mereka. Rakyat telah memberikan kepercayaan iaitu melalui undi untuk mencapai kemenangan kepada sesebuah parti, namun suara majoriti yang diabaikan akan menimbulkan kebencian rakyat kepada sesetengah pemimpin. Pemimpin mestilah sentiasa berada di tengah-tengah kesusahan dan penderitaan rakyat.

Rakyat sebenarnya mahu hidup dalam aman dan sejahtera, mempunyai peluang menuntut ilmu dan mendapat pekerjaan dengan keadaan ekonomi yang stabil. Peluang-peluang perniagaan terbuka luas. Harga barang dapat dikawal dan juga tidak ada jenayah berlaku di kawasan kediaman. 

Rakyat juga rimas dengan terlampau banyak pendatang asing yang datang ke negara ini. Rakyat tidak lagi berasa selesa dan tidak dapat hidup bebas dan aman dengan pelbagai kegiatan jenayah seperti rompakan, kes ragut dan pecah rumah. 

Sesekali pemimpin harus turun padang dan bertanya kepada rakyat apa masalah dan kemahuan mereka.

Natijahnya, sebagai pemimpin yang berkuasa di peringkat bawah dan atas lakukan sebaik mungkin iaitu berkaitan kebajikan kepada rakyat dengan memahami kehendak mereka. 

Ingatlah, pemimpin sesuatu kaum adalah abdi (pelayan) kepada kaum tersebut. Sebagai pemimpin elakkan daripada bercita-cita untuk mendapat kedudukan bagi ahli keluarga dan kekayaan di dunia. Khianat paling besar adalah apabila seseorang pemimpin memperdagangkan rakyatnya dengan strategi dan langkah yang penuh masalah.


PENULIS ialah pengamal media, Ph.D Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


-Utusan-

No comments:

Post a Comment