Isu dua ADUN PAS yang 
menyokong PKR dan DAP berkenaan isu MB Selangor sejak kebelakangan ini 
benar-benar menjolok kesabaran ahli-ahli PAS yang prihatin dengan 
adab-adab berjamaah seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Keputusan Majlis Syura 
Ulamak PAS yang bersidang pada 6hb Ogos 2014 yang telah mengambil 
ketetapan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) sebagai 
Menteri Besar Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah telah 
sewenang-wenangnya dilanggar secara terang-terangan oleh kedua-dua ADUN 
tersebut.
Kesan secara teknikalnya
 TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB kerana bilangan majoriti 
ADUN tidak lagi memihak kepada beliau. PKR dan DAP yang hanya mempunyai 
bilangan 28 ADUN menyokong telah bertambah menjadi 30 ADUN. Secara 
teknikalnya TSKI hanya mempunyai sokongan 26 ADUN termasuk 13 ADUN PAS 
dan 12 ADUN Umno yang menyokong tanpa syarat. TSKI tidak boleh lagi 
dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini. Ia mentafsirkan 
kenapa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menghantar dua 
nama sebagai calon MB menggantikan TSKI.
Kenyataan terbuka
Lebih 
menjengkelkan apabila dilihat beberapa pimpinan kanan dalam jawatankuasa
 kerja PAS Pusat membuat kenyataan terbuka menyokong tindakan mereka 
berdua. Lebih jauh lagi, ada pula di kalangan pimpinan PAS Pusat ini 
yang mengandaikan mereka berdua bakal dianggap sebagai “hero” atau wira 
oleh orang terkemudian kerana bertindak kononnya menyelamatkan Pakatan 
Rakyat. Tindakan pimpinan pusat ini menyokong kedua-dua ADUN yang 
bersikap membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak ini adalah jelas 
satu lagi tindakan membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS oleh
 kepimpinan tertinggi parti. Ia menjadi satu panduan dan ikutan buruk 
untuk ahli-ahli bawahan juga bertindak dengan cara yang sama.
Sudahlah perbincangan di
 aplikasi WhatsApp dibocorkan. Perbezaan pandangan dalam mesyuarat 
jawatankuasa PAS Pusat dibocorkan sewenang-wenangnya. Hatta perbezaan 
dan pertelingkahan dalam mesyuarat yang memang menjadi sebahagian resam 
mesyuarat diriwayatkan secara terperinci oleh media. Siapakah pembocor 
rahsia ini. Amanahkah mereka? Adakah ini kualiti pimpinan tertinggi PAS 
Pusat dari sudut akhlak berjamaah dan bermesyuarat?
Sehingga kini berpuluh 
aduan dan usul telah dikemukakan dan diluluskan oleh pelbagai pihak 
dalam PAS sama ada mesyuarat agung kawasan-kawasan, muktamar dewan-dewan
 dan mesyuarat badan perhubungan negeri mendesak PAS mengambil tindakan 
tegas terhadap mereka berdua. Namun, sangat jelas beberapa pimpinan ini 
sememangnya secara terang-terangan membela mereka berdua. Bertindak di 
belakang tabir? Menikam Tuan Guru Presiden dari belakang?
Arahan dan restu
Lebih 
mengejutkan lagi ialah apabila ada perkhabaran yang bersedia untuk 
dibuktikan bahawa tindakan kedua-dua ADUN itu adalah dengan pengarahan 
dan restu pimpinan kanan dalam jawatankuasa PAS Pusat. Ini sudah 
tersangat serius dan di luar jangkauan akal manusia yang waras!
Dalam keadaan itu 
tiba-tiba ada pimpinan kanan cuba mengalih perhatian ahli dengan 
membangkitkan isu kononnya ada usaha ke arah kerjasama PAS dan Umno. 
Kononnya ada institusi tertentu telah cuba dikuasai oleh “team” Umno. 
Fitnah apa yang sedang dimainkan ini?
Sangat menarik apabila 
diperhatikan bahawa sebelum ini isu Unity Goverment selalu dibangkitkan 
setiap kali muktamar hampir menjelang. Isu ini dibangkitkan bagi 
menimbulkan kesangsian kepada pihak tertentu dalam PAS khususnya 
Presiden PAS.
Konsensus Nasional
Malangnya apabila 
Konsesus Nasional ala UG dibangkitkan oleh pimpinan tertinggi PKR ianya 
seolah direstui. Media tidak sekali melaporkan usaha-usaha Konsesus 
Nasional ala UG ini diusahakan oleh pimpinan tertinggi PKR dengan 
pelbagai percubaan pertemuan. Menariknya ia tidak pula menggerakkan 
pimpinan ini untuk menimbulkan persoalan dan mempertikaikannya. Lebih 
jauh ada yang menulis menyokong Konsesus Nasional dengan pelbagai hujah.
 Adakah kerana ia datang dari PKR maka semuanya adalah betul dan perlu 
dijulang dan jika datang daripada sebahagian pimpinan PAS maka ia adalah
 salah?
Maka tidak menghairankan
 apabila ada pula pimpinan tertinggi yang menyifatkan kenyataan Presiden
 dalam isu MB Selangor sebagai kenyataan peribadi. Walhal Presiden 
menegaskan keputusan PAS sebelumnya pada januari 2014 iaitu isu jawatan 
MB Selangor tidak berbangkit apabila PRK Kajang dipaksa berlaku oleh 
PKR.
Akhir-akhir ini ada 
usaha untuk mencemarkan nama Presiden dengan pelbagai bentuk pemberitaan
 negatif. Usah dikira serangan di Facebook walaupun oleh mereka yang 
mengaku sebagai ahli PAS. Media tertentu dipergunakan secara terancang 
untuk menegatifkan imej Presiden PAS. Tapi sehari dua ini pula kelihatan
 Presiden cuba dipuji dan dipuja. Apa strategi di sebalik semua ini?
Ke
 manakah PAS ini ingin dibawa? Masihkah sebahagian pimpinan PAS 
berkiblatkan al-Quran dan Sunnah dalam percaturan politik mereka? Tepuk 
dada tanya iman!
* Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment