
PETALING JAYA: PKR akan menggunakan pendekatan demonstrasi untuk mendesak kerajaan persekutuan memansuhkan Akta Hasutan.
  Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, parti itu melihat gerakan 
rakyat akan dapat mencapai hasrat untuk membatalkan peruntukan 
undang-undang yang disifatkannya mengekang parti-parti politik dan 
ahlinya yang berbeza pendirian dengan kerajaan persekutuan.
  Bagaimanapun beliau berkata tarikh bantahan itu akan diumum kelak.
  "Tunggu pelancaran kempen daripada NGO dan ia akan selaraskan dengan NGO. Mungkin (tarikh) akan diumumkan pada minggu hadapan.
  "Kita akan turun dengan dua objektif, iaitu menerangkan kepada rakyat 
bahawa hak demokrasi dalam parlimen. Jadi dengan sentimen kemarahan 
rakyat ini sudah tentu rakyat akan turun beramai-ramai.
  "Demonstrasi dan PKR tidak boleh dipisahkan," katanya kepada wartawan dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
  Bantahan rakyat itu juga akan disertai dengan jelajah Kempen Mansuh 
Akta Hasutan (MAH) yang bakal bermula di Wilayah Persekutuan Kuala 
Lumpur seterusnya ke setiap negeri bermula bulan ini.
  Ahli-ahli Parlimen daripada parti itu juga bakal menggunakan sidang 
Parlimen yang bakal bermula Oktober nanti untuk membawa usul tergempar 
berkaitan pemansuhan akta ini.
  Kempen MAH dicetuskan oleh PKR ini berikutan beberapa ahli parlimen 
parti itu didakwa di bawah Akta Hasutan dengan kes terbaru, Ahli 
Parlimen Padang Serai N. Surendren menerima waran tangkap daripada 
polis, kerana menyabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 
konspirasi Liwat II.
  Sebelum itu, Naib Presiden PKR Tian Chua juga didakwa menghasut 
selepas mengeluarkan kenyataan berhubung pencerobohan tentera Sulu di 
Lahad Datu, Sabah, kononnya pencerobohan itu adalah konspirasi Umno 
untuk menakut-nakutkan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.
-antara pos-
No comments:
Post a Comment