Wednesday, May 28, 2014

Adat Berkabung Kemangkatan Sultan Perak




Pada zaman dahulu, Istiadat Berkabung dilaksanakan dengan setiap orang lelaki dalam istana bercukur dan wanita berkerat rambut. Kini, istiadat berkabung cuma ada kaitan dengan peraturan pakaian dan pembatalan acara rasmi sahaja.




Tempoh berkabung akan ditetapkan dan  disiarkan oleh pihak Kerajaan Negeri, dan dalam tepoh ini bendera negeri Perak hendaklah dinaikkan setengah tiang, acara-acara rasmi yang dikelolakan oleh pihak kerajaan negeri dikehendaki dibatalkan atau ditunda kepada satu tarikh yang lain setelah tempoh perkabungan itu.


Majlis-majlis bercorak hiburan, nyanyian dan tarian juga wajib dibatalkan. Dua buah gendang obat dan dua buah gendang nengkra akan dibalut dengan kain putih sebagai tanda penghormatan kemangkatan Almarhum.

Segala pawai kerajaan negeri seperti lembing kerajaan, payung kerajaan, keris dan pedang kerajaan juga dikehendaki diikat dengan lapisan kain putih.

Dalam tempoh berkabung, kerabat diraja lelaki berpakaian baju Melayu hitam dan bertengkolok putih ikat solek. Kaum lelaki Melayu daripada golongan kebanyakan memakai baju Melayu dengan bersongkok hitam yang berbelit kain putih selebar 2.5cm. Lelaki daripada bangsa lain boleh berpakaian lounge suit atau baju kemeja berlengan panjang dan bertali leher hitam atau warna gelap tanpa corak serta memakai tona hitam selebar 8cm dilengan kanan.

Kaum wanita Melayu berbaju dan berkain hitam atau warna lain yang gelap dan berselendang mahupun bertudung putih. Wanita berbangsa lain juga berpakaian hitam atau gelap dan berselendang hitam.

Untuk Paduka Seri Sultan, tempoh berkabung ialah 100 hari, manakala untuk Raja Muda 40 hari, Raja Dihilir 7 hari dan raja-raja bergelar 5 hari.

Untuk Raja Perempuan mahupun Raja Permaisuri hendaklah berkabung selama 40 hari, dan Raja Puan Besar 14 hari, Raja Puan Muda 7 hari serta isteri-isteri lain Paduka Seri Sultan tidak melebihi 7 hari dan ditetapkan oleh Tuanku Paduka Seri Sultan.

Selepas seratus hari daripada hari permakaman berlangsunglah Istiadat Menurunkan Batu Nisan. Istiadat ini cuma disaksikan oleh kerabat-kerabat yang terdekat sahaja. Batu nisan itu akan dililiti dengan kain kuning mahupun kain putih, kuning dan hitam merupakan  warna-warna kebesaran kerajaan Negeri Perak  


-Mej Hardi-

No comments:

Post a Comment