Persatuan Alumni
Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN) ingin melahirkan kekesalan di
atas kenyataan calon Parti Demokratik Rakyat (DAP), pilihanraya kecil
Parlimen Teluk Intan; Dyana Sofya Mohd Daud, 27 tahun, seorang graduan
undang-undang dari UiTM mengenai alma maternya yang dinyatakannya
melalui siri ceramah kempen PRK Teluk Intan.
Meletakkan UiTM
sebagai pusat tumpuan dan isi kempen bagi kawasan Parlimen yang
mempunyai lebih 60 ribu pengundi berdaftar telah menjadikan masyarakat
keliru dengan hala tuju perjuangan yang cuba diketengahkan. Dalam satu
nada, Dyana mengangkat semangat Perlembagaan tetapi dalam nada yang
lain, meletakkan UiTM yang merupakan material kepada Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan pada neraca khayalan “ketidakadilan kaum” di
Malaysia.
UiTM sebenarnya merupakan manifestasi kesatuan dan
kefahaman total rakyat Malaysia terhadap kesuburan demokrasi di
Malaysia. UiTM tidak akan wujud sekiranya quid pro quo tidak menjadi
asas pembentukan dan simpulan tolak ansur rakyat yang diikat melalui
Kontrak Sosial. Justeru, sebagai seorang warganegara yang baik, Dyana
tidak perlu rasa bersalah sekiranya ada insan bukan Melayu/Bumiputera
yang bertanya mengenai UiTM.
Malah, sebagai seorang graduan
undang-undang yang telah ditempa kebijaksanaan oleh UiTM, terangkan
sahaja dengan jelas dan yakin bahawa UiTM ini hanya dikhaskan untuk
Melayu dan Bumiputera. Dyana tidak perlu menjadi graduan UiTM pun
sekiranya perkara asas mengenai negara dan institusinya seperti ini
hendak diterangkan kepada khalayak umum. Pokoknya, Dyana tahu, faham dan
jelas tetapi masih mahu menjadikan UiTM sebagai lauk cakap-cakap di
pentas politik parti pilihannya.
Menyentuh perkara lain yang
dibangkitkan mengenai UiTM dengan parti pemerintah, Dyana sendiri
sebenarnya faham dan sedar bahawa tidak ada afiliasi mahupun polisi
menjadi ahli parti politik tertentu apabila menjadi mahasiswa UiTM.
Mempertahankan institusi seperti UiTM bukan menjadi tugas parti
pemerintah sahaja bahkan ia adalah amanah yang perlu dipikul oleh setiap
organisasi politik yang ada. Sekiranya parti yang didukungi beliau
tidak mampu melaksanakan amanah ini, jangan sesekali memperlekeh usaha
dan tanggungjawab yang dikelek oleh parti politik yang sentiasa
menjunjung tinggi aspirasi rakyat seperti yang termaktub di dalam
Perlembagaan.
Dalam soal lain yang membabitkan kemasukan golongan
tertentu sahaja diterima masuk ke UiTM, Dyana menyerlahkan sisi
semberono beliau dalam mengeluarkan kenyataan. Walau apa pun, kenyataan
itu secara tidak langsung mengiktiraf peranan UiTM (yang dikenali
sebagai ITM sebelum 1999) dalam memperkasa kedudukan ekonomi dan sosial
masyarakat peribumi tanah bertuah ini. Oleh kerana kejayaan UiTM
melahirkan profesional dan teknokrat Melayu yang dapat mengubah landskap
sosial negara serta merapatkan jurang ekonomi masyarakat, maka para
alumni yang telah mendapat manfaat tersebut meneruskan usaha dengan
menghantar anak-anak mereka ke UiTM. Apakah Dyana bukan sebahagian
daripada hasil kejayaan ini?
Walau bagaimanapun, kejayaan yang
ada ini perlu terus disuburkan dan kini Program Mengubah Destini Anak
Bangsa (MDAB) diperkenal sebagai ruang untuk membantu anak-anak
Bumiputera yang memerlukan. Pelaksanaan program ini bukanlah untuk
mengambil sebahagian kek kekayaan negara daripada sesiapa malah ia akan
membesarkan lagi kek tersebut agar limpahannya turut dirasai oleh yang
lain atas semangat persaudaraan Perlembagaan Persekutuan.
Untuk
itu, terang lagi bersuluh, UiTM merupakan simbol aspirasi seluruh rakyat
Malaysia yang berpegang pada keluhuran Perlembagaan dan juga titik di
mana 1Malaysia bermula. Bagaimana kita hendak terangkan kepada generasi
akan datang, di mana letaknya akar persefahaman rakyat Malaysia jika
UiTM yang bersandar semangat Perlembagaan sudah lenyap diwakafkan?
Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini mungkin tidak diberi
ruang istimewa di dalam lingkaran parti politik yang sememangnya tidak
mesra UiTM dari dahulu lagi. Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada
hari ini mungkin masih merangkak mencari-cari pintu di dalam kesempitan
demokrasi parti yang tidak mungkin memberi sinaran politik kepada orang
Melayu di dalamnya. Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini
mungkin tenggelam dalam lipatan dinasti kekeluargaan parti yang
bersungguh mewakafkan UiTM untuk tidak lagi diisi oleh generasi Rozi,
Shahril, Mahanum, Hafeez atau pun Asrul.
Justeru, PIMPIN
menegaskan bahawa perihal mengenai UiTM tidak seharusnya menjadi isu di
dalam mana-mana pentas sekiranya semangat Perlembagaan Persekutuan
dijunjung tinggi tanpa sebarang prejudis dan prasangka. Pemain-pemain
politik seharusnya menggunakan pentas kempen sebagai medan memperkasa
kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan apatah lagi menyebarkan
semangat perpaduan di kalangan masyarakat.
Gerak politik yang
mengalunkan gendang kebencian serta mengelirukan sewajarnya ditolak.
Semoga Dyana tidak lagi rasa bersalah untuk menerangkan dengan jelas dan
yakin mengenai UiTM kepada sesiapa sahaja yang bertanya kepada beliau
terutamanya kepada mentor- mentor di dalam parti yang diwakilinya.
UiTM Di Hatiku.
SAIFUL AZHAR SHAHARUN Presiden
Shah Alam, Selangor
21 Mei 2014
21 Rejab 1435 Hijrah
No comments:
Post a Comment