Thursday, May 15, 2014

UMNO Perlu Tegas Dalam Menjamin Kestabilan Mengikut Peredaran Zaman - Muhyiddin

10 MEI : UMNO perlu terus cekal dan tegas mempertahankan prinsip dan nilai kesederhanaan yang menjadi teras perjuangannya bagi mengimbangi tuntutan politik zaman yang serba moden kini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata UMNO tidak boleh terperangkap dalam permainan politik ekstrem perkauman, agama dan hak asasi manusia semata-mata untuk menjadi juara kaum, agama atau kelompok tertentu.


Ini kerana tanggungjawab politik Umno yang paling besar adalah untuk mengekalkan keseimbangan politik yang menjadi asas keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Malaysia.

Ikuti perutusan penuh Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.
MUHYIDDIN UMNO
Muhyiddin Yassin… Hidup UMNO

Alhamdulillah, pada tanggal 11 Mei 2014 kita menyambut Ulangtahun UMNO ke-68.
Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua UMNO tetap berdiri teguh sebagai parti untuk bangsa Melayu di tanah air kita. Selama lebih enam dekad UMNO berada di persada perjuangan suci menegakkan agama, bangsa dan tanah air yang tercinta.

Kita juga berasa bangga dengan pencapaian parti kita selama ini.
Selama lebih enam dekad UMNO menggalas amanah perjuangan parti, menerajui pentadbiran negara bersama-sama rakan-rakan komponen Barisan Nasional dan pada masa yang sama kita berjaya mengemudi perubahan zaman.Daripada sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air kepada sebuah parti yang memacu pembangunan pesat negara, hari ini UMNO sedang mengemudi Malaysia menuju ke ambang negara maju. Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai oleh sebuah parti politik. Kita bertambah bangga kerana hasil sumbangan para pejuang parti yang terdahulu dan hikmah perjuangan UMNO selama ini, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara kita dapat mengecap nikmat kestabilan, kemajuan dan kemakmuran sejak merdeka hingga ke hari ini.Berkat sokongan orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya kepada UMNO, parti kita terus mara di persada perjuangan.

Namun, di sebalik kejayaan kita selama ini harus diingat bahawa UMNO kini sedang mengharungi arus perubahan zaman yang kian mencabar. Peralihan generasi (generational shift) telah membawa kepada perubahan zaman yang ditandai dengan kemunculan pemikiran dan nilai politik yang baharu.
Soal kebebasan, kesamarataan dan hak asasi manusia telah muncul sebagai fokus utama perdebatan dalam ruang politik di negara kita dan semakin mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat.
Bahkan, pematuhan kepada prinsip yang dibawa oleh nilai-nilai baharu ini menjadi kayu ukur kepada ketepatan sesuatu keputusan dan tindakan politik.

Dalam menghadapi arus perubahan zaman masa kini, UMNO tidak seharusnya mudah hilang kompas perjuangan. UMNO harus sedar bahawa nilai-nilai baharu ini juga mempunyai kecenderungan untuk membawa masyarakat kita ke arah dua haluan politik yang berbeza. Ada golongan yang mahukan kebebasan dan kesamarataan yang ekstrem sehingga melupakan nilai-nilai agama, budaya dan tradisi serta semangat saling hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi paksi kehidupan masyarakat majmuk di negara kita selama ini. Kelompok ini kadangkala mengambil tindakan yang agak ekstrem dalam mengemukakan desakan-desakan mereka sehingga menyebabkan wujudnya ketegangan dalam masyarakat majmuk kita.

Di satu pihak lagi, ada juga golongan yang menolak sekeras-kerasnya nilai-nilai baharu ini dan menganggap ianya sebagai ancaman besar terhadap kelangsungan tradisi agama dan budaya masing-masing. Golongan ini juga berpotensi untuk mengambil tindakan yang ekstrem demi mempertahankan nilai dan kepercayaan mereka. Dalam mengharungi cabaran perubahan zaman masa kini, UMNO sedang berhadapan dengan desakan-desakan yang jika tidak ditangani dengan penuh hikmah akan menjejaskan kestabilan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Masa depan negara kita sebenarnya bergantung kepada sejauhmana hikmah politik UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional, parti yang diberi mandat untuk menerajui negara, dapat mengimbangi dan mengekalkan kestabilan, kemanan dan keharmonian negara kita. Untuk itu, UMNO perlu terus cekal dan tegas mempertahankan prinsip dan nilai kesederhanaan yang menjadi teras perjuangan UMNO dalam mengimbangi tuntutan politik zaman kini. UMNO mesti meneruskan tradisi kesederhanaan dan keseimbangan dalam mengemudi sebuah negara majmuk. Kita tidak boleh terperangkap dalam permainan politik ekstrem perkauman, agama dan hak asasi manusia semata-mata untuk menjadi juara kaum, agama atau kelompok tertentu. Tanggungjawab politik UMNO yang paling besar adalah untuk mengekalkan keseimbangan politik (political equilibrium) yang menjadi asas keamanan, kestabilan dan kemakmuran Malaysia.Dalam konteks ini, kompas perjuangan UMNO adalah asas-asas yang telah dipersetujui di dalam Perlembagaan dan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Rukunegara.

UMNO mesti terus menegakkan kesucian agama Islam dan membela hak orang Melayu dan Bumiputera dengan berpandukan landasan Perlembagaan. UMNO mesti terus memperjuangkan apa yang hak bagi orang Melayu dan Bumiputera serta menegakkan agama Islam di samping menghormati hak bagi kaum dan agama lain. Menggalas amanah perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara di samping mengekalkan kestabilan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia dalam persekitaran politik masa kini yang kian mencabar adalah satu ujian besar bagi UMNO. Amanah ini bukan sesuatu yang mudah untuk digendong. Ia menuntut suatu kebijaksanaan baharu dalam kalangan pimpinan dan ahli parti.

Sempena sambutan ulangtahun UMNO ke-68 ini, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Ilahi semoga UMNO sentiasa cekal mengharungi cabaran zaman, tegas mempertahankan prinsip perjuangan dan mudah-mudahan dengan izin Allah s.w.t. UMNO terus kekal sebagai sebuah parti yang kuat, berprinsip dan bermaruah.

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!  

– bnbbc.my-

UMNO Bahagian Kelana Jaya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN UMNO KE 68 kepada semua warga UMNO, para sahabat UMNO, ahil-ahli UMNO dan keluarga UMNO. UMNO adalah sebuah parti terunggul di Malaysia dan kami terus berharap dan berdoa agar UMNO terus unggul di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment