Dakwaan calon DAP bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, kononnya kerajaan rasis apabila tiada kuota untuk bukan Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah keterlaluan.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata dakwaan Dyana Sofya itu dibuat tanpa fakta, dipercayai semata-mata untuk menarik perhatian dan meraih undi kaum Cina dan India pada pilihan raya kecil itu.

“UiTM bukan sahaja untuk kaum Melayu tetapi juga untuk mereka yang berstatus Bumiputera dari Sabah dan Sarawak… polisi UiTM tidak seharusnya timbul dan  dipertikai.

“Ada banyak lagi institusi pengajian awam di Malaysia yang kemasukannya tidak mengira bangsa dan mementingkan pendidikan semua kaum. Hanya UiTM sahaja yang polisinya untuk bumiputera,” katanya.

Ismail berkata tindakan Dyana Sofya, yang juga seorang peguam lulusan UiTM, mempersoalkan dasar UiTM sebenarnya bukan sahaja mempertikaikan hak bumiputera tetapi turut memainkan api perkauman.

“Tindakannya mempersoal hak Bumiputera itu mencetuskan sentimen dan polemik. Seperti melepaskan anjing yang tersepit dan bagai kacang lupakan kulit, beliau sengaja mahu mengetuk dan menghiris UiTM sebagai benteng terakhir orang Melayu dan bumiputera,” katanya.

Dyana Sofya dalam siri ceramahnya baru-baru ini mendakwa kerajaan BN, yang telah 54 tahun memerintah negara, rasis kerana hanya kaum Melayu sahaja boleh memasuki UiTM.

Beliau dalam satu kenyataan turut mendakwa terdapat pelajar yang datang daripada keluarga pemimpin UMNO yang kaya diberi tempat di UiTM, sedangkan ada pelajar miskin yang tiada kaitan dengan UMNO, dinafikan tempat di institusi itu.

Ismail berkata kemasukan penuntut ke UiTM dibuat secara saksama dan tidak pernah melibatkan fahaman politik.

“Sejak UiTM ditubuhkan, 75 peratus pelajar adalah daripada keluarga miskin… dan saya pasti Dyana Sofya pula dari keluarga yang senang, tetapi turut diterima belajar di sini. Justeru kalau hendak tuduh orang kaya sahaja dapat belajar, itu juga keterlaluan,” katanya.

Katanya, UiTM juga satu-satunya universiti yang mempunyai kursus khas untuk anak-anak miskin dari luar bandar menerusi program Jelajah Destini Anak Bangsa (JDAB).

Sehingga kini kira-kira 30,000 pelajar miskin telah diambil memasuki UiTM menerusi JDAB.