Apabila seseorang Raja Pemerintah mangkat maka adalah menjadi tanggungjawab dan kerja Setiausaha Dewan Negeri Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri mengumumkan perkara yang menyedihkan itu kepada semua Raja-Raja, Orang Besar-besar dan rakyat jelata.
Setiausaha Dewan Negeri Perak juga akan memanggil satu mesyuarat khas bagi semua ahli-ahli Dewan Negari untuk bersidang mengenai istiadat-istiadat kemangkatan, pemakaman dan berkabung selepas bertandang menghadap Duli Tuanku Raja Perempuan.
Semboyan akan dipasangkan dengan bilangan tembakan das mengikut usia Almarhum, iaitu satu das bagi setahun. Biasanya semoyan kemangkatan di pasang di sebelah malam selepas pukul sepuluh dan apabila kedengaran bunyi meriam, maka alamat tanda mangkatnya Raja Pemerintah.
Lazimnya, Raja Muda atau Raja Dihilir dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengetuai segala pekerjaan terhadap Istiadat Kemangkatan dan Istiadat Pemakaman.
Pekerjaan membuat usungan atau pedati yang dinamakan 'Seraja Diraja' akan dimulakan secepat mungkin.
Jenazah Almarhum itu dimandi dan dikafankan oleh para alim ulama dan diletakkan Seri Balai, Istana Iskandariah untuk Istiadat Permasyuran Raja Pemerintah Baru. Permilihan Raja Pemerintah baru dibuat di dalam mesyuarat khas Dewan Negari Perak yang dihadiri oleh anggota-anggotanya.
Lazimnya, istiadat permasyuran dilangsungkan di sebelah pagi dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengumumkan nama Raja Pemerintahan baru dan membaca perisytiharan pemasyuran itu. Majlis kemudian diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali daripad semua hadirin yang berada dalam Seri Balai.
Tembakan meriam 21 das akan dilepaskan. Istiadat permasyuran Raja Pemerintah baru hendaklah diadakan sebelum istiadat Memberi Penghormatan Terakhir dan Istiadat Pemakaman.
Setelah selesai Istiadat Permasyuran Raja Pemerintahan baru, jenazah Almarhum di bawa dan diletakkan di atas persada khas empat segi tujuh tingkat bersalut kain kuning dengan pegawai tentera darat, udara dan laut serta polis berkawal di keempat-empat penjurunya.
Darjah-darjah Kebesarab dan Bintang-bintang Kehormatan Almarhum disusun di sekeliling aras lima persada yang dibina dipertengahan Balairong Seri atau Dewan Santapan di Istana Iskandariah. Bacaan ayat suci Al-Quran berkumandang di ruang itu ketika kerabat diraja, Orang Besar-besar, Orang Kenamaan dari dalam dan luar negara serta orang kebanyakan memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum lazimnya berlangsung selama beberapa jam sahaja dan tempoh ini ditetapkan oleh Dewan Negara Perak dengan kerjasama Pihak Kerajaan Negeri.
Cara berpakaian untuk istiadat ini adalah baju melayu hitam dan bersongkok yang berbelit kain putj selebar 2.5cm ditengah-tengah songkok. Kerabat diraja, Orang Besar-besar Negeri dan Bentara-bentara akan bertengkolok putih. Orang kebanyakan berpakaian lounge suit hitam dan bersongkok dengan kain putih yang telah isebutkan di atas.
Kaum wanita berpakaian baju kurung hitam dan berselendang putih (untuk Melayu) atau hitam (untuk lain-lain bangsa). Ketika memberi penghormatan terakhir, mereka yang beragama Islam turut mengambil peluang berdoa supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.
Selepas istiadat memberi penghormatan terakhir, maka persiapan akan dijalankan untuk mengusung jenazah ke luar dari istana dengan pedati khas ke Masjid Ubudiah untuk disembahyangkan. Orang ramai boleh datang untuk menziarahi mahupun menyaksikan Istiadat Pengiringan Jenazah Almarhum dari Istana Iskandariah ke Masjid Ubudiah.
Ada pula yang datang mengiringi jenazah Almarhum diarak di atas pedati dalam perjalanan ke masjid. Selepas jenazah disembahyangkan, biasanya oleh Mufti Kerajaan Negeri, maka jenazah akan dibawa untuk disemadikan dengan penuh adat istiadat yang dikenali sebagai Istiadat Pemakaman.
Pada kelazimannya, istiadat ini dihadiri oleh kerabat diraja, Orang Besar-besar dan orang kenamaan dan mereka akan menyaksikan jenazah Almarhum diturunkan ke dalam liang lahad yang telah disediakan sebaik sahaja tersiarnya berita mengenai kemangkatn Almarhum.
Bacaan Talkin dan doa akan diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri dan sebaik sahaja Talkin dan bacaan doa selesai, tembakan meriam dengan bilangan das berdasarkan usia Almarhum dilepaskan.
Istiadat kemudian disusuli dengan menabur bunga rampai dan menyiram air mawar ke atas makam Almarhum dengan didahului oleh Raja Pemerintah baru, isteri gahara Almarhum dan lain-lain kerabat diraja mengikut protokol yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
-Mej Hardi-
-Mej Hardi-
No comments:
Post a Comment