Bagaimanapun,
jarang yang sedar dan prihatin akan ancaman yang jauh lebih bahaya dalam
memesongkan akidah serta tauhid Islami serta fitrah kemanusiaan itu
sendiri dalam Islam liberal.
Sebabnya,
ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan Al-Sunnah dan Al-Quran
melalui aliran pemikiran moden yang mengsinonimkan falsafah Islam
berpaksikan akal dengan pemikiran barat yang memesongkan akidah itu
sudah menjadi 'pakaian' dan 'sajian' harian hidup ummah kini.
Mengguna label
Islam liberal dengan memperjuangkan hak kebebasan dan hak asasi manusia,
umat Muslim sebenarnya sudah diresapi dengan 'akidah' liberalisme dan
pluralisme yang menjadi agenda dalam doktrin Yahudi-Kristian dalam
menghancurkan Islam melalui pemesongan akidah Muslim.
Akidah menurut
Profesor Dr. Hamka, terhimpun kepada tiga iaitu tauhid yang menjadi
pokok kepercayaan tentang KeEsaan Allah SWT, Al-Risalah iaitu manusia
pilihan Allah yang diutus menyampaikan wahyuNya bagi membimbing manusia
dalam kehidupan dan Al-Baats iaitu kepercayaan kepada hari berbangkit
untuk kehidupan kedua yang berkekalan. (Tafsir Al-Azhar: mukadimah juzuk
17).
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:
Maka hadapkanlah dirimu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah (agama) Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Fitrah Allah ialah ciptaan Allah iaitu manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama Tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama Tauhid, maka hal itu tidaklah wajar. Mereka tidak beragama Tauhid adalah kerana pengaruh lingkungan kehidupan). (Ar-Ruum: 30).
Namun, manusiawi
dan sikap kebendaan sudah mengambil alih peranan dalam kebanyakan
amalan dan budaya hidup ummah era kini berbanding Al-Quran dan Al-Sunnah
sebagai pegangan untuk kekal mengEsakan Allah SWT.
Menurut Penolong
Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain
Al-Ghari, fahaman sesat ada pada setiap zaman tetapi ancaman pemikiran
moden sinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran barat melalui
liberalisme dan pluralisme adalah ancaman dan fitnah zaman ini yang jauh
lebih bahaya.
Katanya, agama dan semua kepercayaan selain Islam bukan agama, sebab semuanya bersifat kemanusiaan dan perkara rekaan.
"Semua agama
rekaan manusia itu tidak mungkin boleh dianggap sebagai agama. Hanya
Islam yang meng-Esakan Allah SWT agama dan kepercayaan yang mutlak,"
katanya.
Ini telah
ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang mafhumNya: Barang siapa mencari
agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima
(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang
rugi. (Ali-'Imran: 85).
Oleh itu, kata
Zamihan, hanya Islam satu-satunya agama kerana ia tidak ditokok tambah
dan direkacipta oleh manusia untuk manusia.
Malah tegas
beliau, Islam adalah agama yang paling cantik, komprehensif, natural,
rasional dan mengikut fitrah makhluk lagi eksklusif yang tidak berubah
sejak dulu, kini dan selamanya.
"Kerana
kecantikan dan kesempurnaan Islamlah menyebabkan ia dicemburui oleh
'pereka' kepada pelbagai kepercayaan lain," tegasnya.
Beliau berkata
demikian ketika membicarakan 'Ancaman Liberalisme dan Pluralisme' pada
Seminar Isu-Isu Semasa Akidah untuk kakitangan kerajaan dan badan-badan
berkanun pada 10 November lalu.
Seminar sehari
anjuran Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
itu diadakan di dewan serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta,
Kuala Lumpur.
Ancaman Islam liberal kini kata Zamihan, amat serius kerana ia melibatkan
secara menyeluruh di semua peringkat dari barisan kepimpinan dan
pengurusan sama ada dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan agama itu
sendiri hingga kepada individu.
"Ia berbahaya kerana mereka memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan," katanya.
Menurut Zamihan,
kebebasan bersandarkan logik atau rasional secara terbuka tanpa had
bukan sahaja menyimpang daripada landasan Islam malah melampaui syariat
dan prinsip dalam Al-Quran dan Al-Sunnah itu sendiri.
Kata beliau,
Islam berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah untuk menegakkan akhlak berbeza
dengan langkah menjaga moral yang dilaungkan Islam liberal.
Melalui
liberalisasi agama pula tambahnya, wujud sekularisme yang menyaksikan
semua perkara berkaitan urusan dunia dipisahkan daripada syariat agama.
"Usaha
pembaratan ini sudah bermula sejak Perang Salib lagi kerana musuh Islam
sedar Muslim tidak dapat dikalahkan selagi kita berpegang teguh akidah
al-Quran dan al-sunnah," tegasnya.
Maka itu
katanya, wujud pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik,
hak asasi manusia, feminisme, kebebasan, globalisasi dan Islam liberal
memesongkan soal aqidah Muslim.
Pegawai
Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rashidy Jamil
Muhammad Ar-Rashid pula memberitahu, usaha terbaru proaktif memesongkan
akidah Muslim adalah mengedarkan buku-buku Perjanjian Lama dan
Perjanjian Baru kepercayaan Kristian berbahasa Melayu bertajuk Al-Kitab:
Berita Baik secara percuma oleh kumpulan pendakyah Kristian.
Buku olahan baru
dan semasa dari Kitab Bible dan Gospels Kristian itu juga turut dijual
di kebanyakan kedai-kedai buku sebaris dengan kitab-kita Islam dengan
meluas.
"Pengedaran
tulisan khat arab yang dipetik dari buku-buku bible dan gospels pegangan
Kristian yang menyerupai ayat-ayat al-Quran juga sedang bertebaran dan
memenuhi ruang rumah, kedai, pejabat dan sesetengah tempat ibadah
Muslim," jelasnya.
Sebab itu, tegas
Rashidy, umat Islam yang dangkal agama dan bahasa Arab perlu lebih
berhati-hati dan prihatin dalam memilih kitab dan tulisan khat serta
kaligrafi Bahasa Arab.
"Bible telah
diterjemah ke dalam lebih 2,000 bahasa, tetapi Buku Al-Kitab: Berita
Baik edisi Bahasa Melayu bukanlah dari Taurat dan Holy Bible Kristian
yang asli," jelasnya.
Sebaliknya kata
beliau, ia mengandungi ayat-ayat untuk menyuntik idealisme
Yahudi-Kristian ke pemikiran dan akidah Muslim Melayu yang membacanya.
Beliau yang
banyak terlibat dalam dialog dan perdebatan mengenai Islam dan Kristian
dengan paderi serta pendakyah agama seluruh dunia itu membuat pendedahan
tersebut ketika membicarakan tajuk 'Ancaman Kristianisasi di Malaysia'
pada seminar tersebut.
Menurut Rashidy,
identiti Islam pada umatnya sekarang sudah hilang dan hampir seluruh
kehidupan harian kebanyakan Muslim dikuasai budaya dan idealisme
Kristian-Yahudi.
"Sebab itulah ramai Muslim yang terpesong akidahnya dan tidak kurang pula yang begitu mudah dimurtadkan," ujarnya.
Sementara itu,
Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Hukum Hakam (Istinbat) Jabatan Mufti
Selangor, Mat Jasi Kamos pula berkata, kejahilan muslim mengenai Islam
menjadi punca utama akidah mereka terpesong.
Kerana jahil
katanya, ramai mengambil jalan pintas untuk 'mendapatkan syurga' dan
mendekatkan diri dengan Allah, sehingga tidak dapat membezakan antara
mukjizat, karamah (keramat) dan istidraj (luar biasa) yang dibawa oleh
seseorang atau kumpulan atas nama agama.
"Akibatnya ramai
yang bertuhankan kepada sesama manusia dan mereka juga taksub dengan
kebendaan sehingga memesongkan akidah," katanya.
Begitupun kata
Mat Jasi, setiap individu muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah
bagi mengembalikan akidah Islam kepada sesama manusia.
-belia bangkit-
-belia bangkit-
No comments:
Post a Comment