Thursday, July 31, 2014

DAP beri amaran kepada PAS



KUALA LUMPUR 30 Julai - DAP mengingatkan pimpinan Pas agar tidak sekali-kali mempunyai pemikiran untuk bekerjasama dengan UMNO dan sebarang hasrat itu perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, analisis senario oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mengenai kerjasama Pas-UMNO adalah amat tidak bertanggungjawab dan mempunyai unsur-unsur pembelotan.

Katanya, Pas mempunyai hak untuk kekal atau keluar daripada pakatan pembangkang namun cadangan untuk bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri Selangor adalah pengkhianatan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Mana-mana pemimpin yang berfikiran sebegitu dan melontarkan cadangan tersebut perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya, saya ingin mengingatkan Dr. Zuhdi bahawa kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pas di Selangor adalah di bawah payung pakatan kerana ketiga-tiga parti Pas, PKR dan DAP bertanding dalam PRU-13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) dengan manifesto bersama pakatan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya semalam.

Anthony mengulas mengenai mesej daripada Mohd. Zuhdi dalam kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat mengenai kajian senario Pas keluar daripada pakatan dan bekerjasama dengan UMNO di Selangor.

Mesej kumpulan WhatsApp itu merupakan perbincangan sulit dalam kalangan AJK Pas Pusat namun telah dibocorkan oleh individu tertentu dan tersebar secara meluas sejak Isnin lalu.

Menurut Anthony, imaginasi daripada Mohd. Zuhdi bagi 'menjentik DAP' juga telah menjejaskan imej keterbukaan dan semangat toleransi Pas.

"DAP menyeru pimpinan Pas pusat untuk mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri daripada cadangan Mohd. Zuhdi dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong pakatan di seluruh negara terhadap Pas," katanya.

-Utusan-



Admin tak faham la apa yang DAP mengarut ni. PAS gabung dengan UMNO dikatakan pembelot dan pengkhianat. Kenapa DAP tak mengaku jer yang PAS diperlukan untuk tagih undi Melayu? Admin sendiri pun tak berani nak jamin PAS akan gabung dengan UMNO sebab dah banyak kali isu gabungan ini dibangkitkan tapi masih belum nampak tanda-tanda PAS akan bergabung dengan UMNO. Apa pun, mari kita doakan agar kedua-dua parti ini bersatu demi Melayu dan Islam.

No comments:

Post a Comment