Monday, July 7, 2014

Mereka Asing di Negara Sendiri




Etnik Uighur berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa. Namun, kini mereka dilarang untuk menjalankannibadat tersebut.

 Kerajaan Beijing pernah menggelar Muslim di Xinjiang (etnik Uighur) sebagai sebahagian daripada "Kumpulan Bin Laden" sehingga menyebabkan kumpulan pemantau hak asasi kemanusiaan merasa bimbang bahawa China tegas berpendirian untuk meningkatkan penindasan terhadap kaum minoritinya sendiri yang beragama Islam di Xinjiang.


Kalau dulunya etnik Uighur adalah merupakan majoriti sehingga 95 % daripada keseluruhan penduduk di Xinjiang tetapi situasinya telah jauh berubah apabila strategi menghantar dan memindahkan eknik Han secara beramai-ramai telah menyebabkan etnik Han kini telah mencapai 45 % daripada keseluruhan penduduk di Xinjiang. Jumlah ini mungkin mencecah 55 % sekiranya mereka mengambil kira pasukan tentera, polis dan pegawai-pegawai kerajaan China yang ditempatkan di wilayah hangat ini.

Xinjiang boleh diibaratkan seumpama Kashmir yang dijajah dan ditindas kerajaan India atau Pattani yang ditindas untuk sekian lamanya oleh kerajaan Thailand dan mungkin seteruk Palestin yang dijajah secara sistematik oleh regim Zionis Israel.

Isu larangan berpuasa di kalangan etnik Uighur bukanlah isu baru tetapi telah berpuluh tahun, dan bukan hanya larangan berpuasa tetapi juga larangan ibadah yang lain seperti larangan berhijab, bersolat dan pelbagai larangan lagi.

Masyarakat Uighur sebenarnya bukanlah bangsa Cina. Rupa paras mereka hampir kepada orang Turki dan mereka juga berkomunikasi dengan bahawa Turki.

Nama sebenar Xinjiang ialah Turkistan Timur. Turkistan bermaksud tanah orang-orang Turki yang telah dijajah oleh China sejak sekian lamanya. Pada tahun 1955, Parti Komunis China telah menukar nama Turkistan Timur secara rasminya kepada Xinjiang yang bermaksud 'The New Territory' atau 'Wilayah Baru'.

Hakikatnya Turkistan sebenarnya berbeza dengan China kerana mereka mempunyai bahasa sendiri, budaya sendiri, perlembagaan sendiri dan bendera sendiiri berwarna biru yang sama seperti Turki yang berbendera merah.

Rekod pelanggaran hak asasi kemanusiaan China terhadap Uighur ini begitu buruk sekali seumpama tahanan tanpa sebab, pemenjaraan, disiksa, dibunuh, wanita mereka dirogol dan sebagainya lagi.

Tidak sebagaimana Palestin, penderitaan masyarakat Uighur tidak banyak diketahui umum dan masyarakat antarabangsa kerana polisi tertutup kerajaan Komunis China dengan menyekat kebebasan media seperti facebook, youtube dan internet.

Rata-rata masyarakat Uighur mempunyai pendirian yang sama terhadap polisi China yang menindas mereka sejak puluhan tahun yang lalu. Keadaan mereka tidak banyak berubah, bahkan semakin tersepit dengan pelbagai kesangsaraan dan asing daripada sinaran mentari perubahan di masa depan.

Di bulan yang mulia ini, saya ingin mengajak teman kenalan dan sahabat semua untuk mendoakanlah yang terbaik buat umat sejagat umumnya dan untuk saudara Muslim kita di Xinjing, China khususnya..



-Dr Zainur Rashid Zainuddin-

No comments:

Post a Comment