Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk memanggil sidang
Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak
berperikemanusiaan ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan
MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis.
Beliau berkata sidang tergempar itu adalah bagi menyatakan pendirian
tegas rakyat Malaysia terhadap tragedi malang itu. Katanya Malaysia
mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak
bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.
“Sekalipun pesawat MH17 itu dipercayai ditembak jatuh, namun buat
masa ini, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sehinggalah
bukti-bukti sahih dapat disahkan,” kata Perdana Menteri dalam perutusan
khas mengenai nahas MH17 yang disiarkan secara langsung di RTM1 Jumaat
malam.
Najib berkata beliau difahamkan bahawa kawasan berlakunya kejadian itu dikuasai dan dikawal oleh pasukan pemberontak.
“Oleh itu, kita sedang membuat pelbagai usaha termasuk saluran
diplomatik dan hubungan baik Malaysia dengan negara-negara berkenaan
supaya pasukan penyiasat dapat menjalankan tugasan mereka dan urusan
pengurusan mangsa dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan kerajaan Malaysia menuntut pihak-pihak
yang terbabit supaya menjamin dan memastikan keselamatan pasukan
penyelamat sepanjang operasi ini dijalankan.
“Kedua, kerajaan Malaysia juga mendesak pihak-pihak berkenaan agar
tidak mengganggu dan mencemari bukti-bukti di tempat kejadian supaya
kerja-kerja penyiasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.
“Ketiga, jika siasatan membuktikan pesawat MH17 ditembak jatuh,
Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka
pengadilan,” katanya. Najib berkata ketiga-tiga tuntutan itu telah
beliau maklumkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) Ban Ki Moon.
“Saya juga telah meminta Presiden Rusia Vladimir Putin untuk memberi
segala kerjasama bagi mencapai hasrat tersebut,” katanya. Najib turut
mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan mengukuhkan semangat perpaduan
demi menghadapi kejadian yang menyayatkan hati ini.
“Pada detik-detik dan saat-saat yang mencarik perasaan dan sanubari
serta sungguh mencabar ini, marilah kita bersatu hati, mengukuhkan
semangat perpaduan sesama kita demi menghadapi kejadian yang menyayatkan
hati ini.
“Semoga Allah memberi pertolongan-Nya kepada ikhtiar-ikhtiar kita untuk melalui semuanya,” kata Perdana Menteri.
Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, adalah
dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di
Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis. Penerbangan itu berlepas
dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan
dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi
(waktu Malaysia) Jumaat.
Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment