-Kosmo-
|
PERBALAHAN Ukraine dengan Rusia yang berlaku sejak empat bulan lalu
antara kerajaan pro-Barat Kiev dengan puak pemisah yang mahu menyertai
Moscow menjadi punca konflik kedua-dua negara.
Ekoran pertelagahan itu, beberapa siri keganasan telah meletus di
wilayah Ukraine yang berbahasa Rusia di timur disebabkan pemberontakan
pro-Eropah di Kiev telah menggulingkan presiden yang disokong Moscow
pada Februari lalu sekali gus membawa kepada pendudukan Rusia ke atas
Crimea.
Pada masa sama, Petro Poroshenko yang telah dipilih sebagai Presiden
Ukraine pada penghujung bulan Mei lalu enggan melanjutkan gencatan
senjata selama 10 hari memandangkan ia telah dilanggar berulang kali
oleh puak pemisah pro-Rusia.
Ekoran itu, Poroshenko mengumumkan kempen ketenteraan kerajaan bagi
mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kumpulan pemisah berkenaan.
Keadaan semakin tegang sejak semalam (Jumaat) dengan Ukraine dan
Rusia saling menyalahkan antara satu sama lain terhadap serangan rentas
sempadan.
Rusia menuduh tentera Ukraine melakukan tembakan yang terkena sebuah
rumah di dalam wilayah Rusia Ahad lalu, membunuh seorang lelaki Rusia
dan mencederakan seorang wanita, namun Kiev menafikan tenteranya
terlibat.
Bagaimanapun, sejak konflik dan pendudukan wilayah Crimea pada 21 Mac
lalu, krisis antara Rusia dan Ukraine berlarutan bahkan bertambah
buruk.
Malah, kemelut politik dan keselamatan paling buruk di Eropah itu
dilihat tiada berpenghujung menyebabkan situasinya menjadi lebih teruk
memandangkan kedua-dua belah pihak sering bertindak balas.
Keadaan tegang kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu juga dilihat boleh membawa kepada kemungkinan berlakunya peperangan.
Poroshenko pula tidak akan sekali-kali membenarkan puak pemisah pro-Rusia bebas memasuki dan menyerang negara tersebut.
Pada masa sama, Ukraine turut cuba mengelak negara tersebut daripada terjatuh ke dalam perangkap Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Matlamat utama Putin adalah untuk mengulangi krisis di wilayah Crimea, namun kali ini ia dilihat dalam skala yang lebih besar.
Pada 28 Mac lalu, sejumlah besar tentera Rusia telah mara dan bersiap sedia di sempadan Ukraine.
Sejak itu, Putin hanya menunggu peluang untuk melakukan serangan terhadap Ukraine.
Alasan
Walau apa pun alasan Putin, beliau sebenarnya langsung tidak
mengambil berat tentang keselamatan etnik Rusia yang tinggal di Ukraine.
Bahkan, Putin turut tidak kisah tentang sekatan yang bakal dilakukan
oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap negara
berkenaan dan tidak mengambil berat tentang keamanan di Eropah.
Apa yang menjadi keutamaannya adalah mencapai hasrat dan matlatmatnya
untuk mengembalikan Empayar Rusia dan zaman kegemilangan Kesatuan
Soviet.
Menurut seorang pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO),
Rusia telah meningkatkan kehadiran tenteranya di sempadan Rusia-Ukraine
dengan jumlahnya dianggarkan lebih 12,000 orang.
Poroshenko dalam pada itu menyalahkan tentera Rusia di atas kejadian
pada Isnin lalu apabila sebuah pesawat pengangkut tentera An-26 telah
ditembak jatuh berhampiran sempadan kedua-dua negara bertelagah.
Laporan dari Ukraine menunjukkan bahawa pesawat berkenaan mungkin
ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu lebih kuat yang dipercayai
dilancarkan dari wilayah Rusia, menurut laman web Presiden Poroshenko.
Jika laporan tersebut benar, ia akan menjadi titik tolak kepada permulaan peperangan antara kedua-dua negara.
“Militan akan membayar harga beratus-ratus nyawa mereka untuk setiap
nyawa anggota keselamatan kami. Tidak ada seorang pengganas yang akan
terlepas, setiap daripada mereka akan dihukum,” tegas Poroshenko.
Pada masa ini, keutamaan adalah untuk menyekat kemaraan Rusia, namun
Poroshenko perlu berhati-hati dengan tindakannya. Ini kerana tindakan
yang agresif daripada ketenteraan Ukraine adalah impian Putin.
Memilih untuk memberikan tindak balas merupakan sesuatu yang sukar,
tetapi bertindak balas dengan keganasan juga merupakan sesuatu yang
salah.
Kuasa besar
Ukraine tidak mempunyai kepentingan atau manfaat bahkan boleh hilang
segala-galanya jika melibatkan diri dalam peperangan dengan kuasa besar
seperti Rusia.
Meskipun tidak ideal, tindak balas terbaik bagi Ukraine adalah untuk menunggu apa yang berlaku seterusnya.
Walaupun kelihatan seperti Rusia mempunyai kelebihan, bagaimanapun
tindakan Putin dilihat sebagai tidak sah oleh masyarakat antarabangsa
dan Presiden Rusia itu semakin kehilangan sokongan daripada rakyat
negaranya sendiri.
Pada Selasa lalu, akhbar The Moscow Times telah menerbitkan sebuah
laporan bertajuk, Sasaran Dasar Putin Tidak Jelas, Tetapi Semuanya
Menyakiti Rakyat Rusia.
Dalam pada itu, Ukraine turut mendakwa Moscow memainkan peranan dalam
serangan udara pada Selasa lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya
empat orang.
Tuduhan itu dikeluarkan sehari sebelum pemimpin EU bertemu bagi
membincangkan krisis antara dua negara berkenaan. Mereka
mempertimbangkan untuk melakukan sekatan baharu terhadap Rusia.
“Ketua-ketua negara dan kerajaan sekali lagi akan menilai keadaan
yang berlaku dan jika perlu, satu keputusan sesuai perlu diputuskan,”
kata Pesuruhjaya Stefan Fuele kepada Parlimen Eropah di Strasbourg.
Sementara itu, dalam pertempuran sebelum ini yang berlarutan selama
tiga bulan setengah dengan puak pemisah di timur Rusia di mana
penduduknya menggunakan bahasa Ukraine, pihak berkuasa kerajaan
memberitahu, mereka telah kehilangan enam tentera dalam serangan
berhampiran sempadan Rusia.
Jumlah tersebut telah menyebabkan lebih 220 anggota perkhidmatan
ketenteraan Ukraine terkorban sejak pemberontakan meletus pada bulan
April lalu.
Pada masa sama, beratus-ratus orang awam dan pemberontak telah meninggal dunia.
Dalam kejadian pesawat pengangkut tentera An-26 ditembak pada Isnin
lalu pula, pihak berkuasa perbandaran menyatakan bahawa
sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala empat lagi tercedera
dalam serangan itu yang berlaku di kawasan perumahan Snizhne, 20
kilometer dari sempadan Rusia.
Seorang pemimpin puak pemisah dipetik oleh agensi berita Interfax
Rusia sebagai berkata, sejumlah 10 orang telah terbunuh dalam serangan
itu. Tambahnya, mereka yang terbunuh itu ialah pekerja pesawat perang
Ukraine.
Bagaimanapun, Kementerian Luar dan Pegawai Tentera Ukraine berkata,
tiada pesawat pejuang Ukraine yang telah dibawa keluar sejak Isnin lalu
memandangkan operasi mencari dan menyelamat mangsa pesawat tentera An-26
dilancarkan.
“Kapal terbang yang tidak dikenali telah melakukan serangan bom di
Snizhne. Penerbangan tersebut boleh digambarkan sebagai provokasi
sinis,” kata jurucakap Pertahanan Negara dan Majlis Keselamatan Ukraine,
Andriy Lysenko.
Kenyataan yang dikeluarkan Lysenko itu menjadi tuduhan terhadap Rusia
sejak pemberontak tidak menggunakan pesawat di dalam kawasan konflik.
Dakwaan terbaharu Kiev itu berikutan wujud tuduhan pada Selasa lalu
bahawa peluru perpandu yang menembak jatuh An-26 mungkin dilancarkan
dari wilayah Rusia.
Jurucakap Kementerian Luar Ukraine, Vasyl Zvarich, juga bersetuju ada penglibatan Rusia dalam serangan di Snizhne.
Justeru, Ukraine berharap sekatan ke atas Rusia dilakukan ke tahap yang lebih tegas dan bukan sekadar ‘pengisytiharan’.
Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama memberi amaran bahawa akan
lebih banyak sekatan dilakukan jika Rusia tidak mengambil
langkah-langkah konkrit dalam mengurangkan konflik di Ukraine.
Katanya, Putin setakat ini juga gagal untuk mengambil langkah-langkah
yang diperlukan untuk menyelesaikan krisis itu secara aman.
“Kami telah menekankan keutamaan kami untuk menyelesaikan isu ini
secara diplomatik, namun kita perlu melihat tindakan konkrit dan bukan
hanya kata-kata dari Rusia yang kononnya komited untuk cuba menamatkan
konflik di kawasan sempadan Rusia-Ukraine,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment